PH setuju kerjasama dengan MUDA hadapi PRU15

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) bersetuju membentuk kerjasama politik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum le-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jawatankuasa yang dibentuk bagi meneliti kerjasama itu akan meneruskan perbincangan bagi memutuskan soal kerusi dan logo.

“Seperti mana diumumkan, ia akan diteruskan dan ada jawatankuasa sedang berunding untuk meletakkan beberapa perkara bagi persefahaman bersama.

“Begitu juga berbincang seterusnya, kalau dipersetujui, tentang kerusi dan logo… dan kita tiada halangan,” katanya dalam laporan BH Online.

Beliau berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di ibu pejabat PKR di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, hasrat MUDA untuk menyertai PH tidak dapat direalisasikan buat masa ini memandangkan ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bulan lalu mengumumkan parti itu berhasrat menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

MUDA juga katanya, menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU akan datang termasuk di Parlimen Muar, yang kini diwakilinya.