KOTA KINABALU : Seorang kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan lemas dipercayai terjun ke sungai berhampiran Simpang UITM, di Kampung Lokub Sepanggar di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) I Ordine Gilu berkata, mangsa ditemui pada 6.30 petang selepas mayatnya tersekat pada objek di dasar sungai sekitar 25 meter dari lokasi dilaporkan terjun ke sungai.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan Bomba menerima panggilan kecemasan jam 1.03 petang tadi kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian bersama 14 anggota diketuai Komander Operasi PBK II KUP Adanan Sapawi.
“Selepas mengambil maklumat berkaitan pasukan penyelamat kemudiannya menjalankan operasi Operasi dan Menyelamat (SAR) menggunakan kaedah surface rescue menggunakan bot penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ordine berkata, SAR ini turut dibantu oleh unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Sabah menjalankan operasi dengan kaedah selaman.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian operasi kemudiannya ditamatkan pada 6.47 petang,” jelas Ordine.