Kad warga asing di Sabah perlukan kehendak politik – Hamzah

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan pelaksanaan pengeluaran kad warga asing di Sabah memerlukan kehendak politik (political will) di antara semua pemimpin kerajaan dalam negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun, menegaskan kad terbabit bukan pemberian status warganegara atau status penduduk tetap, sebaliknya ia untuk mengetahui keberadaan golongan berkenaan di negeri ini.

Menurutnya, masalah sosial berhubung ibu bapa atau anak yang dilahirkan tanpa memiliki dokumen tetapi menetap lama di negeri Sabah diibaratkan sebagai ‘bom jangka’ yang bakal meletup bila-bila masa sahaja.

“Kad warga asing ini kita perlukan ‘political will’. Saya sudah cakap banyak kali bahawa kita tidak mahu nanti ada masalah sosial dalam negeri Sabah sebab ada orang dilahirkan di sini oleh ibu bapa yang tidak ada dokumen dan mereka juga dilahirkan tanpa dokumen.

“Akhirnya ia menjadi satu masalah yang berleluasa sehingga menjadi masalah besar dan ia boleh menjadi ‘bom jangka’.

“Maka sebab itu saya mahu ada ‘political will’ dalam kalangan semua pemimpin di negeri Sabah ini untuk memastikan kita cari satu kaedah untuk kita selesaikan,” katanya dalam laporan Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata kad warga asing dilihat berperanan membantu kerajaan untuk mengesan dan mengambil tindakan ke atas mana-mana individu dari golongan terbabit yang melakukan kesalahan undang-undang.

“Bukan bermakna kita nak jadikan mereka warganegara, tidak. Tetapi mahu memastikan ada identiti supaya boleh kita memastikan sesiapa saja melakukan kesalahan undang-undang dalam negara boleh kita ambil tindakan dan segala apa yang diperlukan.

“Contohnya, kalau kita perlu tenaga kerja, kalau mereka boleh bekerja apa salahnya? Itu semua kita boleh lakukan tanpa kita berikan status warganegara kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu bertempat Dewan Dato Shahbandar Makang, di sini, semalam.