Kabinet tak bincang rombakan menteri

KUALA LUMPUR : Mesyuarat Jemaah Menteri pertama pada tahun ini di Perdana Putra, Putrajaya, pagi ini tidak membincangkan isu rombakan Kabinet.

Sebaliknya ia tertumpu kepada isu pengurusan banjir dan pasca-banjir serta penangguhan ibadah umrah bagi jemaah Malaysia berikutan penularan varian Omicron di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan mesyuarat berkenaan langsung tidak membincangkan rombakan Kabinet yang diperkatakan sejak beberapa hari lalu.

“Tidak berbangkit,” kata Wan Junaidi kepada BH, hari ini.

Kelmarin, tular berita mengenai spekulasi tiga menteri didakwa bakal digugurkan daripada senarai Jemaah Kabinet.

Tiga nama yang dikaitkan dengan spekulasi itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Semalam, Perdana Menetri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau enggan melayan spekulasi rombakan Kabinet yang diterajuinya.

Beliau menegaskan, tumpuannya kini terarah kepada usaha menangani banjir dan pasca bencana itu serta langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini.