Kaamatan wadah penyatuan alam, budaya – Ghulam

PAPAR: Masyarakat digesa menjadikan Kaamatan sebagai wadah penyatuan alam dan budaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Ghulam Haidar Khan, berkata perayaan itu harus dimanfaatkan mengeratkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan serta keharmonian dalam kalangan pemimpin dan rakyat pelbagai etnik.

Karanya, tema “Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi” perpaduan dan persefahaman yang menjadi kekuatan di Sabah, perlu terus pupuk.

“Ini kerana pada hari ini, Pesta Kaamatan bukan sahaja dirayakan masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) sahaja, malah semua komuniti turut sama meraikanya. 

“Lihatlah di sekeliling, kita berkumpul di sini tanpa mengira kaum agama dan keturunan semata-mata untuk meraikan Perayaan Pesta Kaamatan. 

“Ini menunjukkan bahawa sebenarnya masyarakat kita di Negeri Sabah mempunyai perpaduan yang kuat dan persefahaman yang kukuh,” katanya.

Ghulam berkata, masyarakat perlu melipatgandakan usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan yang dimiliki untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

“Anak-anak muda wajar kita didik dan ajar bagaimana bermain gong dan kulintangan bagaimana meniup sompoton dan bungkau dan bagaimana rentak tari lengang-lengkok Sumazau supaya adat budaya ini tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. 

“Kita di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya, memang kaya denga unsur-unsur kesenian dan kebudayaan yang unik, termasuk tarian tradisi, muzik, pakaian dan juga kraftangan tradisi seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.