Kerajaan kaji hapus lebih banyak AP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Selepas bahan makanan, kerajaan sedang meneliti untuk memansuhkan lebih banyak permit import (AP) bagi mengurangkan tekanan kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu juga diharap mampu menurunkan harga barangan yang dijangka mengalami kenaikan susulan kesan perang Rusia-Ukraine.

“Mungkin AP lain pun kita sedang kaji sama ada kita akan hapuskan, banyak lagi AP lain yang kita sedang tengok, bukan setakat makanan saja.

“Jadi, kita harap bila AP dihapuskan. sekurang-kurangnya boleh mengurangkan tekanan kita dari segi kekurangan bekalan barangan dan keduanya bila banyak pihak yang terlibat, mungkin harga (barang) boleh dikurangkan.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan harga barang keperluan dijangka melonjak sekitar 50% hingga 60% mulai bulan dean susulan pelaksanaan kadar gaji minimum dan krisis bekalan makanan global.

Mesyuarat khas Kabinet

Ismail berkata, mesyuarat khas Kabinet akan diadakan esok bagi membincangkan isu kekurangan bekalan makanan dan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diminta membentang rancangan jangka pendek dan panjang bagi memastikan rantaian bekalan makanan mencukupi serta menangani kenaikan kos sara hidup.

“Kita bukan tumpu pada ayam semata-mata, namun dua perkara ini, (termasuk) kos sara hidup yang kita jangka akan meningkat dan ini adalah fenomena global kerana masalah perang dan sebagainya.

“Kalau dari segi teori ekonomi, permintaan melebihi tawaran tentu saja harga akan meningkat…jadi, esok kita akan panggil mesyuarat Kabinet untuk melihat khusus bagaimana kita nak imbangi harga barang yang naik mendadak ini.”

Semalam, Persatuan Penternak Ayam Selangor dilaporkan berkata, negeri itu kekurangan bekalan ayam segar yang berpunca daripada ayam sakit.

Katanya, 70% melibatkan ribuan anak ayam dari reban penternak mati disebabkan sakit dan masalah sama turut dihadapi kebanyakan penternak di Selangor.