Juhar Mahiruddin banyak menyumbang kepada Sabah sepanjang 14 tahun berkhidmat – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari, 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selepas 14 tahun, Juhar merupakan Yang di-Pertua Negeri paling lama berkhidmat sekali gus memberi sumbangan besar kepada Sabah.

Katanya, Tun Juhar Mahiruddin mencurah khidmat yang tiada tolok bandingnya.

“Ini menyaksikan pelbagai insiden dan perkembangan melibatkan kerencaman dan dinamika dunia politik, ekonomi, keselamatan, kesihatan, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

“Perkembangan ini berlaku semasa beliau memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-10 dan meletakkan beliau dalam kedudukan yang baik sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman dan berjiwa besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis santapan negeri bagi menghargai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri di Sabah, di sini semalam.

Hajiji berkata, antara peristiwa yang tercatat dalam sejarah Sabah termasuklah insiden pencerobohan oleh warga asing di Tanduo pada 2013.

“Selain itu merebaknya pandemik COVID-19 yang bermula pada akhir 2019 sehingga ke awal tahun 2022.

“Kedua-dua insiden itu telah meletakkan rakyat Sabah ke dalam situasi yang mencabar. Banyak nyawa terkorban,” jelas Hajiji.

Mwnurutnya, di bawah naungan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin berjaya mengatasi cabaran ini.

“Rakyat Sabah tidak kira bangsa, budaya, agama dan kepercayaan sentiasa menunjukkan kasih sayang.

“”Ini terhadap keprihatinan mereka kepada Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R M Jasni dalam semua program awam yang mereka jayakan,” kata Hajiji.

Hajiji berkata, kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat Sabah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Juhar atas kepimpinan cemerlang sepanjang 14 tahun memerintah.

“Kita mendoakan mereka berdua sentiasa baik dalam perjalanan mereka seterusnya,” tambah Hajiji.