Juara Impian TAWAUFM cungkil artis baharu di Tawau – Nizam

TAWAU :  Inisiatif Jabatan Penyiaran Sabah mengadakan pertandingan Juara Impian TAWAUfm dilihat mampu mencungkil bakat baharu seni suara, di daerah ini dan sekitarnya.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Sabah sememangnya mempunyai ramai bakat-bakat baharu dalam bidang seni termasuklah seni suara ataupun penyanyi.

Katanya, kerajaan negeri turut mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh artis-artis tempatan di Sabah dengan penajaan terhadap program-program realiti yang dianjurkan di negeri ini.

“Pertandingan Juara Impian TAWAUfm misalnya, kerajaan negeri telah memberikan sumbangan dan penajaan bagi melancarkan penganjuran ini.

“Justeru, kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sangat menyokong penuh setiap penganjuran program realiti di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika hadir menjadi tetamu kehormat dalam pertandingan akhir Juara Impian TAWAUfm 2024, di sini semalam.

Menurutnya, penganjuran yang diadakan dua tahun sekali ini cukup bermakna dan perlu diberikan sokongan supaya dapat melahirkan bakat-bakat baharu di negeri ini.

“Saya melihat program ini dapat memberikan peluang kepada belia-belia di daerah ini dan sekitarnya untuk menyerlahkan bakat nyanyian mereka.

“Kita yakin bahawa ini adalah langkah awal untuk belia menceburi bidang nyanyian dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.