KOTA BELUD : Kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat Sabah diminta melaksanakan gerak kerja turun padang dengan lebih agresif dalam mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Ketua Wanitanya, Datuk Redonah Bahanda berkata, berikutan tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, seluruh jentera sepatutnya tidak lagi boleh bersikap selesa dengan pencapaian yang ada.
“Kita mahu semua jentera di seluruh peringkat melipat ganda gerak kerja mereka supaya kita lebih dekat dengan rakyat selain mengenal pasti apa masalah atau isu yang ada.
“Kita tidak mahu apabila PRN nanti baru semua mahu bekerja mencari rakyat, kita jangan menjadi seperti pembangkang yang mencari pengundi secara bermusim ketika pilihan raya sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Tahunan Pergerakan Wanita PGRS Bahagian Tempasuk di Dewan Serbaguna Kampung Taun Gusi, Kota Belud semalam.
Redonah berkata, jentera pilihan raya juga perlu memastikan kemenangan kekal kepada calon PGRS yang disandang sekarang ini.
“Kita mesti pertahankan DUN Tempasuk pada PRN ke-17 yang akan datang. Kita mesti saling bekerjasama sebagai satu pasukan Wanita, Pemuda dan Beliawanis bukan sahaja kemenangan tetapi juga menambah undi yang sedia ada.
“Bagi mencapai hasrat itu, jentera Wanita perlu memperkasakan program-program mendekati rakyat selain melakukan proses tambah nilai dalam setiap gerak kerja,” jelas Redonah.
Menurutnya, beliau turut menyarankan agar kepimpinan Wanita PGRS termasuk di peringkat bahagian dan cawangan supaya kekal mengukuhkan semangat solidariti dan jati diri antara satu sama lain.
