PAITAN : Tabung Pendidikan DUN Sugut ditubuhkan untuk menyalurkan sumbangan kepada pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, berkata sejumlah RM100,000 dana akan disediakan tahun ini sekali gus akan melantik beberapa anggota berkelayakan untuk menguruskan tabung berkenaan.

Katanya, antara tujuan lain fungsi penubuhan tabung ini adalah bagi membantu meringankan beban ibu bapa menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran.
“Kebanyakan ibu bapa ini berasal dari kawasan luar bandar kurang berkemampuan untuk melunaskan bayaran pembayaran awalan untuk membolehkan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran.
“Saya melihat perkara ini sangat penting manakala kemampuan ibu bapa sangat terhad, oleh itu saya mengambil inisiatif menubuhkan tabung ini untuk membantu rakyat terutama sekali ahli-ahli Pergerakan Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di Dun Sugut,” katanya.

James berkata, kewujudan Tabung Pendidikan di DUN Sugut ini nanti dilihat mampu meringankan beban ibu bapa sekali gus membolehkan anal-anak mereka menerima bantuan awal pendidikan berkenaan.
Sementara itu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sugut, James merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata, beliau mahu semua Ketua Cawangan agar memastikan ahli-ahli mereka benar ikhlas dalam perjuangan parti.
“Kita tidak mahu ramai ahli cawangan tetapi tidak berkualiti. Apa yang kita mahu, walaupun sedikit ahli cawangan, tapi mereka berkualiti, setia sekali gus bertanggungjawab kepada parti.

“Apabila tiba PRN nanti, kita mahu mereka ini mengundi Gagasan Rakyat. Kita mahu elakkan apabila pilihan raya Ketua Cawangan tidak mampu mengawal ahlinya,” jelas James.
