SANDAKAN : Sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDN Cawangan Sandakan telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan di Pekan Botition, Sugut dekat sini hari ini.
Pemeriksaan dijalankan susulan aduan di media sosial baru-baru ini mengenai harga barangan yang mahal di premis perniagaan itu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) yang dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 telah diserahkan kepada pemilik premis warga asing terlibat.
Katanya, notis dikeluarkan susulan dakwaan pelanggan mengenai premis itu yang menjual paku simen dengan harga RM0.20 sen sebatang.
Jelasnya, peniaga terbabit perlu mengemukakan semua dokumen yang terlibat berkaitan pembelian paku simen itu dalam masa dua hari bekerja ke KPDN Sandakan.
“Sebanyak 10 buah premis perniagaan di kawasan Pekan Botition dan Sapi Nangoh telah diperiksa pada hari ini dan lima tindakan kes telah diambil yang mana kelima-lima peniaga berkenaan telah dikompaun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 1,000.
“Ia melibatkan empat kes di bawah AKHAP 2011 yang mana peniaga didapati tidak mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang dijual di premis perniagaan mereka dan juga satu kes di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972 kerana pemeriksaan mendapati peniaga menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan,” katanya.
Untuk rekod, sejak 1 Januari hingga 20 Mei 2024, sebanyak 55 kes dengan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM1,000,520.35 telah dihasilkan di KPDN Sandakan.
Manakala, dari segi tindakan kompaun, sejumlah RM6,700 nilai kompaun telah dikutip oleh KPDN Sandakan berikutan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
Selain itu, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 20 Mei 2024 juga sebanyak 52 aduan telah diterima di cawangan ini dan 47 aduan daripadanya (90.38%) telah disiasat dan diselesaikan manakala lima lagi aduan sedang dalam siasatan.
Sehubungan itu, KPDN Cawangan Sandakan menasihatkan agar para peniaga di daerah ini agar sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN terutamanya mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang dijual dan menjual barang kawalan terutamanya gula, minyak masak dan tepung gandum mengikut harga yang ditetapkan oleh Kerajaan.
Azdy berkata, pegawai-pegawai KPDN Sandakan akan sentiasa turun padang menjalankan pemeriksaan meliputi kawasan luar bandar dan bandar bagi memastikan para peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
Jelasnya, KPDN Cawangan Sandakan juga sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga yang boleh disalurkan menerusi saluran-saluran rasmi aduan KPDN.