200 anak yatim dan asnaf terima bantuan

LABUAN : Seramai 200 pelajar  terdiri anak yatim dan asnaf menerima bantuan wang tunai RM200 sempena Program Ramah Mesra Madani bersama Setiausaha Politik  Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Majlis mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Perbadanan Labuan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, di sini semalam.

Azman mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited dalam usaha mendekati rakyat dengan menekankan kepentingan menyantuni setiap rakyat golongan miskin, anak anak yatim dan asnaf.

Katanya, golongan mulia perlu disantuni serta bimbing agar mereka tidak rasa terpinggir sekali gus tidak terasing atau berseorangan.

“Ketika ini hanya terdapat tiga orang masih dikategorikan sebagai miskin tegar. Kita akan berusaha untuk mengeluarkan mereka dari kepompongan kemiskinan.

“Kita yakin Labuan berjaya mengeluarkan miskin tegar 100 peratus dalam waktu terdekat jika dibandingkan dengan negeri negeri lain,” katanya di sini semalam.

Menurut Azman, miskin tegar ini sentiasa berubah dari masa ke semasa serta bergantung kepada keadaan semasa.

“Jika hari ini kita boleh keluarkan mereka dari hidup kemiskinan, mungkin hari hari lain ada pula orang lain yang akan menjadi miskin tegar.

“Perkara sebegini akan kita pantau melalui penglibatan pelbagai agensi seperti MAIWP, Perbadanan Labuan dan juga Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Wilayah Persekutuan,” jelas Azman.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Pendidikan  Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan, Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Supt. Mohd Hamizi Halim dan Timbalan Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Razaliegh Matussin.