JPJ sita dua kenderaan mewah

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyita dua kenderaan mewah dalam Ops Luxury yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Labuan, semalam.

Pengarah JPJ Sabah berkata, sebuah Toyota Land Cruiser persendirian disita di Jalan Lintas Kepayan selepas dikesan menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans sah.

Menurutnya, sebuah lagi kenderaan jenis BMW X5 disita di Jalan Merdeka, Wilayah Persekutuan Labuan atas kesalahan LKM tamat tempoh.

“Kedua-dua kesalahan itu melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 di bawah Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1).

“Kenderaan terbabit disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan akan diteruskan secara berterusan dan JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan mahkamah terhadap pemilik kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya.

JPJ turut mengingatkan semua pemilik kenderaan supaya memastikan LKM dan perlindungan insurans sentiasa aktif demi keselamatan pengguna jalan raya.