Joachim gesa penyelarasan lebih mantap dalam pembangunan infrastruktur Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, menggesa penyelarasan lebih kukuh antara jabatan bagi mempercepat dan meningkatkan keberkesanan pembangunan infrastruktur di Sabah.

Gesaan itu dibuat dalam taklimat pertamanya di Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) selepas memulakan tugas rasmi pada 3 Disember. Taklimat tersebut turut melibatkan jabatan penting seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Sabah Electricity Sdn. Bhd., serta MCMC.

Joachim menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan kementerian, dan kerja berpasukan adalah kunci memastikan projek jalan raya, utiliti air, elektrik dan pembetungan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.

Pelantikan beliau dijangka membawa fokus baharu kepada usaha KKRU untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memacu pembangunan berimpak tinggi di seluruh negeri.