KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan “Anugerah Akhir” bernilai AS$14.9 bilion yang diperoleh kumpulan yang mendakwa sebagai penuntut Sulu sebagai satu kemenangan besar dan penegasan jelas terhadap kedaulatan negara.
Dalam kenyataannya hari ini, Hajiji berkata keputusan mahkamah pada 9 Disember itu sekali lagi membuktikan pendirian Sabah bahawa tuntutan kumpulan berkenaan tidak mempunyai asas, selain tidak wajar dilayan sejak awal.
“Saya sudah nyatakan sebelum ini bahawa Sabah akan mempertahankan kedaulatannya dalam Persekutuan Malaysia. Kita tidak akan melayan tuntutan sedemikian.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Paris ini mengukuhkan lagi pendirian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa timbang tara Gonzalo Stampa tidak memiliki bidang kuasa untuk mengeluarkan “Anugerah Akhir”, selain menegaskan bahawa tiada perjanjian timbang tara sah yang boleh mengikat Malaysia dalam proses itu.
Hajiji juga menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam menangkis apa-apa tuntutan serupa pada masa depan.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas usaha mereka mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya.
