JKR Tuaran Arah Kontraktor Cadang Pembaikan Jalan Pukak–Lokos- Madius

TUARAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Tuaran telah mengarahkan kontraktor penyenggaraan, YTO Group, supaya menyediakan cadangan pembaikan serta pembukaan semula laluan lencongan di Jalan Pukak–Lokos susulan keadaan tanah mendap yang dilaporkan semakin teruk.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata beliau telah berhubung secara langsung dengan pihak JKR bagi mendapatkan penjelasan dan tindakan segera demi keselamatan pengguna jalan raya.

Menurutnya, cadangan berkenaan bertujuan memastikan sekurang-kurangnya satu laluan dapat dibuka untuk kegunaan orang awam sementara kerja pembaikan dilaksanakan.

“Selepas cadangan ini diluluskan, kerja-kerja pembaikan akan dimulakan. Namun tempoh pelaksanaannya bergantung kepada kelulusan pihak ibu pejabat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook di sini semalam.

Beliau merupakan ADUN Tamparuli turut menegaskan bahawa penutupan sementara jalan akan dilaksanakan sekiranya laluan didapati tidak selamat, dengan pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif.

Madius berkata, beliau akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan secepat mungkin demi keselamatan orang ramai.