KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius kes seorang pesakit Hospital Tuaran berusia 18 tahun yang meninggal dunia akibat demam denggi pada 29 Disember lepas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata satu siasatan yang menyeluruh dan telus sedang dalam proses untuk mengenalpasti tindakan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan kesihatan kepada rakyat di negeri Sabah.
Katanya, JKNS sentiasa berusaha dari masa ke semasa untuk meningkatkan kualiti rawatan di Hospital Tuaran.
“Hospital Tuaran telah mempunyai empat pakar yang bertugas iaitu seorang pakar perubatan am, dua pakar pediatrik dan seorang pakar perubatan kecemasan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Asits berkata JKNS ingin memberikan maklum balas kepada berita yang tular di media sosial dan media massa berkenaan dengan seorang remaja yang meninggal dunia akibat denggi yang didakwa berpunca dari kelemahan diagnosa pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran.
Beliau berkata, siasatan awal telah dilaksanakan oleh Jabatan ini dengan menyemak rekod perubatan pesakit semasa kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran, didapati pesakit telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran sebanyak dua kali iaitu pada 25 Disember 2023 dan 28 Disember 2023.
Katanya, pesakit berkenaan merupakan seorang warganegara lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Bulieng, Tuaran.
Menurutnya, pesakit ini telah hadir ke Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Tuaran pada jam 11:23 pagi, 25 Disember lepas dengan gejala sakit ulu hati (‘epigastric pain‘) dan muntah-muntah selama sehari.
“Berdasarkan rekod, pesakit tidak mengadu sebarang gejala lain seperti demam, cirit-birit, sakit dada atau sesak nafas.
“Pemeriksaan tanda vital semasa menerima rawatan juga adalah stabil dengan bacaan suhu adalah normal,” katanya.
Asits berkata, pesakit ini telah diberi rawatan ubat gastrik dan ubat tahan muntah melalui suntikan intravena dan dibenarkan pulang selepas lebih kurang satu jam pengawasan di zon pemerhatian.
Katanya, pesakit kemudian telah dibenarkan pulang dengan ubat tahan sakit, ubat gastrik, dan turut dinasihatkan untuk datang semula dengan segera ke hospital jika gejala bertambah teruk.
Beliau berkata, pesakit telah datang semula ke Unit Kecemasan & Trauma, Hospital Tuaran pada 28 Disember lepas jam 8.50 pagi kerana mempunyai gejala pendarahan dari hidung, demam, muntah-muntah, cirit-birit, dan kurang selera makan.
Menurutnya, pesakit kemudiannya telah diperiksa oleh Pakar Perubatan Kecemasan yang bertugas di Hospital Tuaran dan disahkan menghidap penyakit Denggi pada kedatangan kali kedua ini.
Beliau berkata memandangkan keadaan pesakit ketika itu tidak stabil, pesakit telah dirujuk dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut pada jam 11.30 pagi pada hari yang sama.
Namun demikian, katanya, pesakit disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), QEH pada hari berikutnya.