TUARAN : Naib Ketua Bahagian Parti Warisan (Warian) Tuaran Edul Mulud tampil membuat laporan polis di Balai Polis Tuaran bagi menafikan tuduhan jenayah yang dilemparkan terhadap parti itu.
Dalam laporan polis itu, beliau memberitahu telah melihat dan terbaca artikel dimuatnaik oleh penama “Aki Nabalu” dan “Jhon Lansa” di laman FB menyatakan Warisan dan beberapa individu pemimpin tertinggi di dalam Parti Warisan telah terlibat dan menerima dana daripada kartel dadah terbesar di Sabah yang telah dibongkar dan ditangkap oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
Setelah diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay, kejayaan penangkapan ketua kartel sindiket pengedar dadah yang tidak dinamakan oleh pihak PDRM.
“Namun kedua penama FB ini telah menuduh dan menamakan seseorang sebagai Ketua Kartel tersebut dan dikaitkan kononnya rapat dan memberi dana kepada pemimpin Warisan.
“Kedua dua pemilik FB akaun ini, menuduh secara tidak berasas dan menfitnah bahawa Warisan dan pemimpin pemimpin Warisan tertentu menerima dana daripada kartel pengedar dadah ini,” katanya.
Edul berkata Warisan tidak terlibat dan tidak menerima apa-apa sumber daripada perlakuan jenayah dan penjenayah dan memohon pihak PDRM untuk menyiasat perkara ini.
Sehubungan itu, Edul meminta agar pihak PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam membuat tuduhan palsu dan fitnah politik kepada Warisan serta mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat ini.