Sidang Khas DUN Sabah: ECOS menstabilkan bekalan elektrik di Sabah, selaras dalam Perjanjian Malaysia 1963 – Dr Yusof

KOTA KINABALU : Kelulusan Pindaan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah merupakan selaras dalam Perjanjian Malaysia (MA63) sekali gus merupakan hak kuasa autonomi yang termaktub dalam peruntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, masalah elektrik di Sabah akan dapat diatasi secara berperingkat apabila proses merealisasikan fasa pengambilahlikan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik dijanjikan dipersetujui melalui beberapa siri perbincangan diadakan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, ketika pihak kawalselia bagi bekalan elektrik dibawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Malaysia manakala bagi Tenaga Boleh Baharu dibawah seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

“Dengan adanya pindaan ini, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) bersedia melaksanakan kawal selia ini dari Suruhanjaya Tenaga Malaysia dan SEDA. Kita percaya ECOS membuat persiapan rapi bagi menyambut kuasa yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kita dimaklumkan melalui tenaga kerja ECOS yang terdiri dari anak Tempatan Sabah yang mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam operasi, pentadbiran serta perundangan berkaitan dengan sektor tenaga.

“Pindaan ini mempunyai keunikan tersendiri di mana dua Akta Persekutuan disekalikan di bawah Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024. Ini akan memudahkan perlaksanaan dasar dan pelan tindakan sektor tenaga Kerajaan Negeri Sabah melalui ECOS sebagai satu badan kawalselia yang lebih holistik, efekktif dan efisen,” katanya dalam Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri perbahasan Rang undang-Undang Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, di sini hari ini.

Yusof berkata, keupayaan ini penting bagi membolehkan Sabah mempercepatkan proses pemulihan ke arah kestabilan penjanaan, penghantaran dan pengagihan bekalan tenaga elektrik bagi menjamin ketersediaan tenaga untuk seluruh negeri.

Ini sudah tentu, katanya, bagi meningkatkan kestabilan bekalan tenaga elektrik di Sabah bagi tujuan pembangunan berterusan menjadi usaha serta langkah yang mampu menarik lebih banyak pelabur dari serata dunia bagi menjana ekonomi Negeri Sabah.

“Kelengkapan dan pengawalseliaan sistem bekalan elektrik secara berterusan perlu dititikberatkan kerana telah terbukti penyediaan tenaga elektrik di negeri Sabah termasuk di kawasan luar Bandar.

“Ini adalah satu pemangkin serta penggerak kepada peningkatan produktiviti dan peningkatan industri luar bandar supaya dapat meningkatkan taraf hidup penduduk di luar Bandar,” jelas Yusof.