Jawatan PPM bukan satu keistimewaan – Hajiji

KOTA KINABALU: Pelantikan sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) bukan satu keistimewaan atau lesen untuk melakukan sesuatu bagi memenuhi keinginan diri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebaliknya menekankan semua PPM perlu menyampaikan perkhidmatan dengan sebaik mungkin kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Katanya PPM memikul tanggungjawab yang penting dalam membantu wakil rakyat memberi perkhidmatan terbaik di setiap kawasan.

“Saya mahu PPM sentiasa bekerja rapat dengan wakil rakyat dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Kita tidak mahu melihat apa-apa perkara yang dilakukan PPM secara sesuka hati dan mengikut keinginan tetapi mestilah melaksanakan amanah yang diberikan” katanya selepas menyaksikan upacara angkat sumpah 14 PPM baru di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata PPM bertanggungjawab menyediakan gambaran yang jelas kepada akar umbi mengenai polisi kerajaan, khususnya berkaitan pembangunan yang dilaksanakan sejak dua tahun setengah yang lalu.

“PPM mesti menerangkan kepada rakyat pelan pembangunan kerajaan, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Katanya dengan hanya kira-kira dua tahun lagi sebelum tempoh pentadbiran kerajaan sekarang tamat, PPM berada di kedudukan yang penting untuk memberi khidmat kepada rakyat.

PPM yang mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri hari ini ialah Abd Rashid Saidin (Ibu Pejabat UPPM), Muhammad Tasan (Bengkoka), Sharif Kadah Sharif Osman (Bandau), Saikom Watis (Kadamaian), Rosita Ganggang (Inanam) dan Alex Tan Liang Boon (Likas).

Selebihnya ialah Lee Li Mei (Api-Api), Chin Thau Kwong (Luyang), Shamsur Zulkifli (Petagas), Cyril Gerald Liew (Kapayan), Ana Maria Bernadus (Limbahau), Max Million Lee Yun Vui (Tanjung Papat), Juslee Arpaih (Sukau) dan Mohamad Latip Katik (Kunak).