Kes Langgar Lari: Pemandu kenderaan SB602G diburu polis

SEMPORNA: Polis sedang menjejak suspek terlibat kes langgar lari mengakibatkan kematian warga emas di Jalan Kampung Selamat, Jalan Persisiran Pantai Semporna baru-baru ini.

Dalam kejadian seorang pejalan kaki berumur dalam lingkungan 62 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya pada 19 Julai 2023 jam lebih kurang 8.00 malam di Jalan Kampung Selamat, Jalan Persisiran Pantai Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan Awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah Motokar Perodua Axia, No. Pendaftaran SB602G yang dipandu oleh suspek telah hilang kawalan lalu melanggar pejalan kaki yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

“Pemandu motokar telah melarikan diri selepas kejadian. Mangsa telah dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Julai 2023. Usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Pihak polis meminta, saksi-saksi yang melihat kejadian diminta tampil untuk memberi keterangan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Farhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.