JANS lalukan 1,888 pemotongan paip haram dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini – Shahelmey

KOTA KINABALU  : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melaksanakan operasi pemotongan 1,888 sambungan paip air haram bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya berkata, operasi pemotongan dijalankan JANS itu akan terus dilaksanakan sehingga kegiatan penyambungan paip haram ini dapat diminimakan.

Katanya, daripada jumlah sambungan paip haram berjaya dipotong, sebanyak 339 pemotongan dilakukan pada Januari lalu; Februari (407 pemotongan); Mac (250 pemotongan); 241 pemotongan pada April; 330 pada Mei dan 321 pemotongan pada bulan lalu.

“Pemotongan paip haram ataupun sambungan haram memang terus kita lakukan seperti mana yang kita laporkan beberapa minggu lalu sejak Januari,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Shahelmey berkata, hampir setiap bulan ada sahaja operasi pemantauan dilakukan bahagian penguatkuasa JANS terhadap kegiatan penyambungan paip haram ini.

Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, daerah Kota Kinabalu menjadi antara daerah tertinggi yang merekodkan jumlah pemotongan bagi tempoh enam bulan pertama.

“Setakat ini ia tertumpu di kawasan Kota Kinabalu, tetapi tidak juga menafikan di kawasan atau daerah lain di Sabah. 

“Kita akan terus lakukan operasi ini sehingga ia dapat diminimakan,” jelas Shahelmey.