51 rumah setinggan dirobohkan, 6 PATI ditahan – Kasim Muda

KOTA KINABALU: Sebanyak 51 rumah setinggan dirobohkan manakala enam Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) merupakan warga Filipina ditahan dalam operasi perobohan rumah setinggan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, operasi dilaksanakan pada jam 3.30 hingga 5.20 petang merupakan Op PATI Bersepadu Mega melibatkan tumpuan kepada kawasan penempatan di sekitar daerah Kota Kinabalu.

Katanya, sepanjang operasi tersebut polis menahan enam orang warga Filipina terdiri dua lelaki dewasa manakala empat wanita berumur antara 25 hingga 50 tahun.

“Semua PTI ini akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 51(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Operasi ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha untuk membenteras jenayah, PATI, dadah serta gejala sosial khususnya di sekitar daerah Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Kasim berkata, operasi ini dijalankan pihak Polis Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Eletricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.