Empat calon STPM Labuan capai keputusan cemerlang PNGK 4.0

LABUAN : Seramai empat calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Labuan mendapat keputusan terbaik Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 berbanding tiga calon pada tahun 2022 di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan berkata, mereka merupakan pelajar SMK Labuan menjadi sekolah tunggal mempunyai calon peperiksaan STPM.

Katanya, empat calon STPM 2023 SMK Labuan tersebut, Nur Amylia Zairudin, Mathew Chew Kah Ming, Nur Fazrinah Jamal dan Norashaiqanaziraerme Asis.

“Seramai 11 calon mendapat PNGK 3.75 ke atas, 43 calon mendapat PNGK 3.0 ke atas manakala 78 calon mendapat keputusan PNGK 2.0.

“Secara keseluruhanya SMK Labuan mencatatkan peningkatan PNGK sebanyak 0.13 mata berbanding 2.65 pada tahun 2022 kepada 2.78 pada tahun 2023” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2023 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di SMK Labuan, di sini semalam.

Abidin berkata, seramai 139 calon SMK Labuan menduduki peperiksaan STPM 2023 mencatatkan 99.28 peratus lulus penuh meningkat sebanyak 2.04 berbanding 97.24 peratus pada tahun 2022.