25 dikategorikan ‘Projek Sakit’ dilaporkan berlaku di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merekodkan sebanyak 25 sebagai ‘Projek Sakit’ membabitkan projek pembangunan serta infrastrukur yang gagal disiapkan kontraktor mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara projek ‘sakit’ tersebut termasuk membabitkan sektor tenaga, bekalan air, elektrik, pembinaan sekolah, kemudahan kesihatan serta beberapa kemudahan lain.

Katanya, beliau sudah mengarahkan semua jabatan serta agensi terbabit untuk menangani masalah ini sehingga menyebabkan pelaksanaan projek pembangunan ini dapat disiapkan segera.

“Kesemua projek ini mempunyai kepentingan awam, justeru saya menggesa agar segala usaha perlu diambil cepat dan memberi keutamaan agar projek sakit ini dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Mengikut rekod terdapat 1,218 projek sedang dilaksanakan di Sabah manakala hanya 25 daripadanya dikategorikan sebagai projek sakit,” katanya di sini hari ini.

Hajiji juga diberikan taklimat mengenai Jawatankuasa Khas Bersama Negeri-Persekutuan dibentuk untuk ditugaskan memantau projek pembangunan di Sabah, terutamanya projek bermasalah.

“Sementa itu saya berpuashati terhadap program pembasmian miskin tegar dilaksanakan sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menunjukkan Sabah kini berada pada landasan betul mencapai sasaran miskin tegar sifar.

“Kita menggesa agensi pelaksana memaksimumkan penggunaan RM6.6 bilion diperuntukkan Kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan Negara 2024 untuk

pembangunan di Sabah tahun ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, peruntukkan itu meliputi pelbagai program pembangunan termasuk tebatan banjir, pemulihan Sungai Tuaran, pembinaan sekolah baharu, membaiki sekolah usang serta membina klinik baharu dan premis Tamu Desa.

“Adalah mustahak agar semua pihak terbabit menggunakan sepenuhnya peruntukan dan penurunan kuasa bagi agensi teknikal di Sabah untuk melaksanakan projek pembangunan menelan belanja di bawah RM50 juta bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Agensi pelaksana Persekutuan dan negeri mesti mengeratkan hubungan antara mereka, disamping meningkatkan prestasi serta kualiti projek untuk manfaat rakyat,” kata Hajiji.

Sehingga 15 Julai tahun ini, Sabah telah membelanjakan RM1.791 bilion atau 35.46 peratus berbanding prestasi negara sebanyak 43.45 peratus di bawah Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12.