Seminar berkaitan masjid, zakat dan wakaf mampu bantu transformasi – Hajiji

KOTA KINABALU: Seminar berkaitan masjid, zakat dan wakaf mampu membantu mentransformasi dan membangunkan peranan tiga institusi berkenaan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam masa sama seminar ini menjadi medan percambahan idea baharu serta inovatif mewujudkan kaedah pembaharuan teknologi dalam bidang pengurusan masjid, zakat dan wakaf.

Katanya, beliau berharap seminar ini dapat menyediakan platform kepada peserta untuk berkongsi maklumat, pandangan dan pengalaman dalam usaha transformasi dan membangun peranan masjid, zakat dan wakaf.

“Seminar ini sebenarnya amat penting bagi membantu meningkatkan lagi kefahaman berkaitan pengurusan tiga institusi berkenaan.

“Justeru, saya amat mengharapkan agar seminar ini menjadi wadah perbahasan, pembentangan, perkongsian ilmiah berkaitan masjid, zakat dan wakaf sama ada dari segi teori mahupun praktikal,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif.

Hajiji berkata, hasil seminar ini diharapkan dapat membantu penambahbaikan dalam isu-isu berkaitan masjid, zakat dan wakaf di negeri ini.

“Ini sekali gus dapat memberi manfaat yang akan digunakan sebaiknya dalam meningkatkan institusi terbabit.

“Seminar julung kali diadakan ini akan memberi ilmu dan pengetahuan yang terbaik terutama kepada pentadbir masjid dan institusi berkaitan agama Islam di negeri ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, sudah pasti perkongsian ilmu dalam seminar ini akan menambah baik pengurusan berkaitan masjid, zakat dan wakaf ke arah lebih profesional dan efesien.

“Masjid, zakat dan wakaf merupakan elemen yang sangat penting dalam pembangunan insan, masyarakat, negeri dan ummah.

“Ketiga-tiga institusi ini saling berkait antara satu sama lain, justeru kesepaduan fungsi antara masjid, zakat dan wakaf menjadi titik noktah ke arah mewujudkan jalinan hubungan dan kerjasama mampan antara ketiga-tiga institusi berkenaan,” kata Hajiji.