Kota Kinabalu: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah meminta Kementerian Kerja Raya Persekutuan dan Negeri memberi perhatian kepada Penyelenggaraan Jalanraya daripada Tuaran ke Ranau.
Timbalan Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Thonny Chee berkata, jalan ini adalah menjadi laluan utama kepada rakyat negeri ini serta pelancong dalam serta luar negara untuk ke Ranau.
Katanya, dalam mereka ke Kundasang dan Ranau pada sabtu lepas mendapati keadaan jalanraya semakin teruk dan ada kawasan kritikal dan bahaya perlu penyelenggaraan segera sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
“Kami tidak mahu masalah jalanraya ini akan menjejaskan usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Ini sudah tentu menumpukan fokus utama termasuk Sektor Pelancongan dengan disokong oleh Jaringan Infrastruktur Asas seperti jalanraya yang diselenggara dengan baik.
“Kami menggesa Kerajaan Pusat menambah peruntukan Penyelenggaraan Jalanraya Persekutuan di negeri ini dengan memberi tumpuan kepada laluan utama terutama segmen kritikal yang perlu perhatian segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Thonny berkata, selain daripada itu PKR Sabah mengingatkan Kerajaan Negeri khususnya Kementerian Kerja Raya blstatus jalanraya negeri ini sepanjang 22370.95 km hanya lebihkurang 48 peratus sahaja yang berturap.
“Jalanraya luar bandar sepanjang 2673.11 km masih lagi 34 peratus jalan kelikir dan 11 peratus adalah jalan tanah.
”Oleh itu, pihak kami menggesa agar isu jalanraya negeri ini perlu ditangani sebaik mungkin dalam merealisasikan Halatuju Sabah Maju Jaya yang telah mengenalpasti pemetaan tumpuan Jaringan Infrastruktur berdasarkan Nod dan Hotspot yang bakal menjadi pemacu kawasan ekonomi negeri ini,” katanya.
Thonny berkata, PKR meminta Ahli Parlimen Ranau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat menyuarakan isu penyelenggaraan jalan raya ke Ranau ini pada sidang akan datang.