KENINGAU: Bekas Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (WARISAN) Keningau, Datuk Jake Jikulin Nointin telah keluar parti bersama 2,519 penyokongnya dan menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup menerima penyertaan beliau bersama penyokongnya ke dalam PBRS di masjlis yang diadakan di pekarangan kediaman Jake, di Keningau, pada petang Jumaat.
Jake berkata, setelah berehat selama setahun dalam bidang politik, beliau bersama-sama dengan rakan seperjuangannya akhirnya memilih untuk menyertai PBRS sebagai kesinambungan dalam perjuangan mereka.
“Secara rasminya saya dan sahabat-sahabat yang telah bercuti daripada politik selama setahun akhirnya membuat keputusan untuk menyertai PBRS iaitu parti tempatan yang dipimpin oleh pemimpin muda.
“Kepimpinan PBRS juga telah membuktikan sikap integriti, kredibiliti yang tinggi dan keperihatinan dalam mendahulukan kepentingan rakyat di negeri Sabah khususnya di pedalaman.
“Kami berharap untuk menyumbangkan sedikit sebanyak dalam usaha memperkasakan perjuangan PBRS di negeri Sabah amnya dan khususnya di pedalaman ini,” katanya dalam laporan Daily Express.
Arthur mengalu-alukan kehadiran Jake bersama-sama dengan rakan seperjuangan beliau sebagai ahli PBRS dalam kawasan Parlimen P.180 Keningau.
Katanya, kehadiran Jake bersama penyokong dalam PBRS mampu menggerakkan parti secara aktif di kawasan Parlimen Keningau.
Beliau percaya mereka juga akan berpegang kepada prinsip PBRS selama ini iaitu berjuang untuk kecemerlangan rakyat, memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
Selain sebagai bekas Ketua Bahagian WARISAN Keningau, Jake juga sebelumnya merupakan bekas Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS).
Beliau juga pernah bertanding atas tiket WARISAN bagi merebut kerusi Parlimen Keningau dan kalah tipis dengan majoriti 45 undi dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dalam pertandingan enam penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu