KOTA KINABALU: Kabinet Negeri meluluskan penubuhan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah bagi mendokong Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, Majlis Pembangunan itu merupakan satu platform kolektif yang berperanan untuk memastikan Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai ‘enabler’ kepada sektor pelancongan, perindustrian dan pertanian di Sabah.
Katanya, ini juga akan membantu kementeriannya mengukuhkan fungsi serta peranannya dalam merangka dasar, strategi, latihan berteknologi tinggi.
“Ini sekali gus dapat memastikan program pembangunan serta memberi mandat kepada KSTI untuk melaksanakan hal ehwal yang berkaitan sains, teknologi dan inovasi yang melangkaui semua kementerian dan sektor di negeri Sabah.
“Dalam Majlis Pembangunan itu nanti tiga Jawatankuasa Teknikal ditubuhkan di bawah Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah,” katanya.
Yakub berkata, antaranya Jawatankuasa Teknikal Penyelidikan dan Inovasi yang dipengerusikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Sabah Selain itu, Jawatankuasa Teknikal Aplikasi Teknologi (Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan) yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC).
Manakala ketiga, Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Modal Insan berasaskan sains, teknologi dan inovasi yang dipengerusikan oleh Timbalan Rektor, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Sabah.
Yakub berkata, keahlian dalam Jawatankuasa dalam Majlis ini terdiri exofficio daripada Kementerian dan Jabatan yang berkepentingan, tokoh-tokoh akademia, pemain Industri dan komuniti agar semua kepentingan masyarakat pelbagai peringkat dapat dirangkumkan dan diperjuangkan.
“Kita berharap dengan penubuhan Majlis ini mampu untuk meningkatkan hasil-hasil penyelidikan dan inovasi yang boleh digunakan bagi pembangunan yang lebih mampan di negeri ini,” katanya.