KOTA KINABALU: Jumlah kutipan hasil yang telah dikutip oleh Jabatan Perhutanan Sabah dari sumber balak dan kayu pada 2023 adalah sebanyak RM155.320 juta.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, daripada jumlah tersebut, hasil daripada royalti sumber balak adalah RM93.270 juta dan hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport adalah sebanyak RM3.87 juta.
“Lebihan hasil sebanyak RM58.2 juta adalah daripada lain-lain hasil hutan seperti yuran permit menduduki hutan simpan, yuran pembaharuan lesen, royalti hasil agroforestry (getah dan kelapa sawit), yuran pendaftaran kenderaan dan lain-lain,” katanya.
Nizam menjawab soalan ADUN Senallang Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pada Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi tahun ini, setakat 31 Mac 2024, jumlah kutipan royalti balak bulat adalah sebanyak RM28.3 juta, manakala hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport adalah sebanyak RM629,672.90.
Katanya, kutipan daripada lain-lain hasil hutan pula adalah lebih kurang RM10.75 juta.
Sebagai makluman, katanya, tiada yuran yang dikutip untuk kayu yang diproses di kilang papan tempatan memandangkan semua kutipan ke atas kayu balak bulat telah pun dikenakan di kawasan penghasilan (at source) iaitu sebelum dihantar ke kilang pemprosesan.
Menurutnya, yuran pemeriksaan hanya dikenakan kepada beberapa produk kayu terpilih yang dieksport dan diimport masuk ke negeri Sabah.