KOTA KINABALU : Kerajaan negeri perlu menjalankan segera kerja-kerja pendalaman muara Sungai Likas bagi membolehkan lebih 100 nelayan pesisir pantai dapat meneruskan kehidupan seharian mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata, nelayan ini membabitkan penduduk Kampung Bangka-Bangka, Likas, Rampayan, Kalansanan serta Darau menjadikan pekerjaan nelayan sebagai sumber mata pencarian utama menyara keluarga mereka.
Katanya, kawasan terjejas tersebut meliputi bermula berhadapan Jabatan Perikanan di Kg. Likas sehingga ke kawasan berhampiran ‘Helipad’ di Bangunan Menara Kinabalu.
“Kehidupan seharian nelayan ini keluar mencari nafkah bermula seawal 4.30 pagi kemudian balik dalam 7.30 malam setiap hari. Saban hari mereka keluar untuk mencari nafkah menggunakan muara sungai Likas ini.
“Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, muara Sungai Likas menjadi cetek sehingga ke paras tiga kaki sekali gus menyukarkan laluan keluar masuk perahu nelayan,” katanya pada sesi perbahasan pada persidangan DUN di sini semalam.
Azhar berkata, antara punca menyebabkan sungai menjadi cetek adalah keadaan paras dasar sungai yang dipenuhi plastik sampah serta hasil buangan dan lumpur yang makin menebal.
“Ketika air surut, semasa pergi atau balik dari mencari nafkah, nelayan tidak dapat kembali ke rumah masing-masing kerana laluan yang cetek sekali gua tidak dapat dilalui oleh perahu mereka.
“Ada ketikanya semasa surut yang berpanjangan nelayan terpaksa menarik perahu masing-masing sejauh satu hingga tiga kilometer untuk ke jeti nelayan mereka,” jelas Azhar.
Menurutnya, nelayan terpaksa tidur di perahu di tengah laut bagi menunggu waktu air pasang sekali gus langkah ini akan mengundang pelbagai isu keselamatan dalam kalangan mereka.