Kerajaan pertimbang laksana Cukai Jualan Negeri emas dibawa keluar dari Sabah

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri mengkaji semula kontrak perjanjian dan ordinan, akta serta enakmen berkaitan untuk meningkatkan kadar royalti emas daripada 5 peratus kepada 10 peratus ke atas emas mentah dihasilkan daripada aktiviti perlombongan di negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, ini termasuk akan mempertimbangkan pengenaan Cukai Jualan Negeri terhadap emas yang dibawa keluar dari Sabah.

Katanya, ketika ini kerajaan akan bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Pejabat Hasil Bumi (SUHB) serta Sabah Mineral Mangement Sdn. Bhd. (SMM) bagi mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang.

“Peraturan ini adalah berkaitan aktiviti perlombongan mineral berdasarkan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 dan Ordinan Tanah Bab 68 melalui pemerkasaan Rangka Kerja Pengawalseliaan (Regulatory Framework) sejajar dengan Seksyen 28, Ordinan Perlombongan 1960.

“Ia bertujuan memperkenalkan peraturan-peraturan baharu bagi Operasi perlombongan yang lebih efisien dan mematuhi Konsep Environmental, Social & Governance (ESG),” katanya.

Beliau menjawab soalan ADUN Senallang Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pada Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 di sini, hari ini.

Julita berkata, ini merupakan sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk menjaga kelestarian alam semula jadi, peraturan perlombongan juga perlu diperketatkan.

“Disamping itu mampu meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan alam semula jadi, kewaspadaan risiko kecurian dan rampasan emas kepada pemain indusri emas tempatan.

“Kerajaan menekankan Intervensi sains dan teknologi juga amat ditekankan bagi memastikan aktiviti melombong emas dapat dijalankan secara lebih efisien, mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti emas serta memberi kesan minimal kepada alam sekitar,” jelas Julita.