Isu tapak prasekolah SK Sinapokan perlu diselesaikan segera – Awang Aslee

BEAUFORT: Keputusan menang-menang dapat dicapai khususnya bagi menyelesaikan masalah isu tapak pembinaan prasekolah di Kampung Sinapokan Menumbok di sini.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, bertindak atas arahan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin beliau menemui pemimpin masyarakat di kampung tersebut dengan dihadiri bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sinapokan Saiful Suari.

“Kita sudah menjalankan perbincangan bersama mereka sekali gus berharap agar isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan projek pembinaan prasekolah di kampung ini dapat dimulakan demi kepentingan anak-anak di kampung ini,” katanya di sini semalam.

Awang Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO berkata, hasil perbincangan tersebut sudah pun dimaklumkan kepada Mohamad Alamin untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pihaknya berharap agar pihak kementerian dapat mengambil tindakan penyelesaian terhadap kemelut itu bagi membolehkan projek ini dapat diteruskan.

Semasa perbincangan itu, Awang Aslee turut melawat bangunan kelas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Kampung Tanjung Aru yang dilihat dalam keadaan usang dan daif.

Beliau juga turut meninjau keadaan sistem perparitan di sekitar gerai serta bangunan surau lama di kampung itu.

“Kerajaan seharusnya mengambil perhatian serta langkah pembaikan sewajarnya terhadap kerosakan bangunan dan sistem perparitan yang tersumbat sehingga mengakibatkan banjir apabila musim hujan di kawasan ini,” katanya.