KOTA KINABALU: Sabah menerima peruntukan RM3.5 bilion menerusi Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi meningkatkan capaian 4G di Sabah kepada 90 peratus menjelang 2023.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam memperkasa kesalinghubungan digital, sebanyak 51 menara telekomunikasi sudah siap di bina manakala 483 lagi sedang dalam proses pembinaan.
Katanya, kerajan negeri menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dalam perancangan memasang kemudahan ‘Very Small Aperture Terminal’ atau (VSAT) di 300 lokasi dikenalpasti di samping 55 lokasi pada tahun ini.
“Ini sudah tentu untuk melengkapkan Program JENDELA yang akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperkasakan kebolehcapaian internet di kawasan luar Bandar.
“Dalam tempoh sama SKMM memperuntukkan sebanyak 138 lokasi untuk pemasangan VSAT di Sabah sambil bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memasang VSAT di 59 sekolah yang tidak mempunyai kemudahan internet di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sains Negeri Sabah 2021 secara Maya, di sini semalam.
Hajiji berkata, Program JENDELA dilaksanakan bagi memenuhi keperluan untuk memperbaiki kualiti liputan jalur lebar disamping mengurangkan kadar harga jalur lebar sekai gus menyediakan akses kepada semua lapisan masyarakat.
Ini termasuklah kemudahan Infrastruktur komunikasi terutamanya rangkaian gentian amat diperlukan bagi menyokong agenda ekonomi digital sekali gua membolehkan rakyat memanfaatkan peluang yang ditawarkan dalam bidang teknologi dan inovasi terkini.
“Berlandaskan kepada adaptasi pelaksanaan norma baharu, penganjuran Karnival Sains Sabah Tahun 2021 diadakan secara maya melalui facebook Karnival Sains Sabah (KSS) dan youtube rasmi Kerajaan, iaitu Sabah Gov Official.
“Penganjuran karnival ini menekankan ke arah melahirkan masyarakat berinteraksi dan membudayakan Sains Teknologi dan Inovasi (STI) dalam setiap aspek kehidupan. Pembudayaan STI perlu diperluaskan bagi memastikan teknologi yang dibangunkan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Hajiji berharap agar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merupakan Kementerian yang baharu ditubuhkan hasil penjenamaan semula bagi mengukuhkan peranan Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai pembolehdaya penting sektor sosioekonomi.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap Penganjuran Karnival Sains Sabah pada kali ini sesuai dengan matlamat utama Kementerian dalam memupuk kesedaran, menyemarakkan pembudayaan dan pengaplikasian Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di dalam kehidupan seharian masyarakat pelbagai peringkat terutamanya pelajar,” katanya.