TONGOD : Lebih 80 mangsa kebakaran berharap agar kerajaan dapat mendirikan semula rumah mereka selepas musnah dalam satu kebakaran di Kampung Pinangah, Tongod, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Masyarakan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, ketika ini hampir semua mangsa kebakaran masih tinggal di Pusat Penempatan Sementara (PPS) sementara menunggu penempatan lain.
Katanya, setakat ini hanya lima keluarga dikenal pasti berpindah ke rumah keluarga manakala selebihnya masih tinggal di PPS sehingga menyebabkan kesesakan di kawasan tersebut.
“Saya akan bangkitkan masalah ini ke dalam mesyuarat kabinet sebagai mencari jalan yang dapat dilakukan kerajaan unutk membantu mereka dengan kadar segera.
“Selaku Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Insya-Allah saya akan bawa perkara ini semasa Mesyuarat Jemaah Menteri, minggu ini akan dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” katanya di sini hari ini.
James berkata, beliau melawat ke lokasi kebakaran mendapati rumah mangsa tersusun sebelum berlakunya kejadian kebakaran sekali gus disahkan 100 peratus merupakan penduduk tempatan.
“Saya mengarahkan Jabatan Kesihatan kawasan Pinangah agar dapat memantau tahap kesihatan mangsa di PPS ini serta memastikan segala keperluan termasuk tahap kesihatan mereka berada pada keadaan memuaskan.
“Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah juga akan menyalurkan bantuan membabitkan keperluan peralatan dapur untuk digunakan mereka di PPS ini,” jelas James.
Dalam masa sama, James juga meminta agar Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapatkan rekod secara terperinci terhadap pelajar yang terjejas dalam kebakaran berkenaan.
“Bantuan kepada pelajar ini perlu disegerakan membolehkan mereka boleh meneruskan sesi persekolahan seperti sedia kala serta bantuan lain untuk keperluan sepanjang tinggal di PPS ini.
“Hari ini saya berkesempatan menyampaikan bantuan kewangan kepada 81 mangsa daripada 56 keluarga terlibat dalam kebakaran tersebut,” kata James.