KOTA KINABALU : Tiada keperluan ‘melayan’ saranan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno supaya Pakatan Harapan (PH) meminta maaf kepada parti itu atas serangan selama berdekad.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin berkata, apa disuarakan Nur Jazlan Mohamed disifatkan ‘perangai sesetengah pemimpin Umno yang masih angkuh’.
“Jangan angkuh dengan kemenangan besar di DUN Mahkota kerana ia tidak mungkin berlaku tanpa kerja keras PH bagi memastikan pengundi PH keluar mengundi dan tidak beralih sokongan.
“Inilah perangai sesetengah pemimpin Umno yang masih belum terhakis, angkuh. Baru menang beberapa kerusi sudah mendabik dada,” katanya dalam kenyataan hari ini
Razeef berkata, jika tidak kerana PH, Umno masih seperti dulu.
“Umno membusuk hingga ke usus dan diakui sendiri oleh beberapa pimpinan parti berkenaan.
“Tetapi, selepas bersama PH barulah Umno perlahan-lahan bersih dari sikap angkuh, sombong, serta jauh dari rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Terdahulu, Nur Jazlan menyeru PH memohon maaf secara terbuka kepada Umno atas segala tohmahan, tuduhan, dan persepsi yang didakwa ‘dicipta sejak berpuluh tahun lalu’, sehingga menyebabkan parti itu dipandang kotor pengundi.
PH dan Umno membentuk kerajaan selepas PRU15 bersama beberapa gabungan parti lain, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Pada PRU 2022 itu tiada gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan.
PH mempunyai 81 kerusi di Dewan Rakyat, memiliki paling banyak daripada 153 kerusi dikawal gabungan kerajaan perpaduan, diikuti BN (30), GPS (23), GRS (6), dan parti kecil serta ahli bebas (13).