Inisiatif program berkhatan ringankan beban inu bapa – Jasni

TUARAN : Program berkhatan secara beramai-ramai dijangka dapat meringankan beban keluarga khususnya dalam kalangan ibu bapa di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya berkata, program ini banyak manfaat bukan sahaja kepada kanak-kanak yang berkhatan malah kepada golongan ibu bapa.

Jasnih (tiga dari kanan) menyiram kanak-kanak yang terlibat sebagai gimik perasmian.

Katanya, program ini merupakan salah satu cara memberi sumbangan berupa tenaga kepada keluarga, terutamanya kepada kedua-dua ibu bapa mereka.

“Kita melihat kos berkhatan ini bukanlah rendah, mereka perlu ada janji temu bersama doktor serta mencari masa yang bersesuaian.

“Melalui program ini, kita gabungkan mereka supaya boleh mendapat satu slot termasuk menyediakan sendiri pihak perubatan serta bomba meraikan anak-anak ini,” katanya di sini semalam.

Jasnih (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang kanak-kanak yang terlibat.

Jasni berkata, jika secara beramai-ramai ia sedikit sebanyak akan menghilangkan rasa gemuruh dalam kalangan peserta.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Jasnih merupakan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd menekankan kepentingan tadbir urus masjid khususnya di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam.

“Kita tidak boleh lari daripada banyak soal kehidupan yang berkait rapat soal agama termasuk kes meninggal, oleh itu jadikan masjid adalah satu tempat rujukan. 

“Sebagai contoh, masjid di Kampung Lapasan ini merupakan antara sangat aktif dalam kerja-kerja amal seumpama ini,” jelas Jasni.

Jasnih (depan, tengah) ketika ditemui media.

Menurutnya, oleh itu wujud keperluan untuk menyediakan sebuah kenderaan jenazah bagi kegunaan penduduk di sekitar kawasan ini.

“Kita akan usahakan kerana kenderaan jenazah ini merupakan  keperluan utama kepada penduduk di kampung ini.

“Saya juga menekankan di masjid ini agar kurangkan politiknya tapi lebihkan objektif untuk membantu rakyat di sini,” kata Jasni.

Hadir sama Pengerusi Masjid Al-Fattah Matlan Taman serta Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pantai Dalit, Irwandie Matshah.