Huazong anjur semula Festival Kebudayaan Cina Malaysia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) akan menganjurkan semula Festival Tahunan Kebudayaan Cina Malaysia tahun ini, selepas dua tahun terhenti akibat wabak Covid-19.

Presiden Huazong, Tan Sri TC Goh berkata penganjuran festival itu diadakan dengan kerjasama tiga persatuan iaitu Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang dan Dewan Perhimpunan Cina Melaka.

“Huazong telah menyusun acara-acara penting bagi menandakan bermulanya semula festival tersebut.

“Kita akan memastikan penganjuran acara ini dengan lancar serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menyatakan demikian semasa merasmikan pelancaran program kebudayaan Huazong bertemakan “Huazong. Berpegang teguh. Inherit”, di Auditorium Tan Sri Koo Yuen Kim, di Wisma Huazong di sini hari ini.

Goh berkata, Malaysia yang kini bakal beralih ke fasa endemik, kerajaan baru-baru ini mengumumkan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April, 2022, Huazong berharap Festival Kebudayaan Cina Malaysia ke-37 juga dapat dianjurkan tahun ini.

Jelasnya, berikutan penularan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam tempoh dua tahun lalu, Huazong tidak mempunyai pilihan selain menangguhkan festival yang sepatutnya diadakan di Negeri Sembilan, pada September 2020.