Hospital medan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan beroperasi 26 Jun

LABUAN : Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan akan dijadikan sebagai hospital medan kerana berdekatan dengan Hospital Labuan.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata hospital medan dengan kapasiti 100 katil (empat katil diperuntukkan untuk transit unit rawatan rapi (ICU), akan menempatkan pesakit COVID-19 kategori tiga dan empat yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Bermula Selasa (22 Jun), kami akan membuat persiapan mengubah pusat kuarantin itu sebagai hospital medan dan dijangka beroperasi pada 26 Jun (Sabtu).

“Hospital medan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyediakan rawatan kondusif dan maksimum kepada pesakit COVID-19.

“Selepas membuat kajian menyeluruh (berikutan lonjakan kes COVID-19), kami meminta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendirikan hospital medan ini dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Mutiara, Taman Perumahan Mutiara di sini hari ini.

Dr Ismuni berkata pesakit dengan keadaan pasca-COVID (pesakit semua peringkat umur yang mengalami kesukaran bernafas, merasa sakit, hiperlipidemia, lesu, keletihan dan hipertensi) akan dirawat di Hospital Labuan.

Beliau berkata pesakit yang sedang menjalani kuarantin di Dewan Serbaguna itu yang menempatkan 300 katil, akan dipindahkan ke PKRC Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Katanya, kapasiti di PKRC kedua di ILP itu akan dimaksimumkan untuk pesakit COVID-19 kategori satu dan dua.

Dr Ismuni berkata varian membimbangkan (VOC) COVID-19 dipercayai telah merebak dalam masyarakat setempat yang menyebabkan peningkatan kes positif sejak beberapa minggu.

“Hospital medan ini adalah untuk kita membuat persiapan kemungkinan peningkatan kes COVID-19 terus berlaku,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ATM akan membina sebuah hospital medan di Labuan bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di sini.

Ismail Sabri berkata pasukan teknikal ATM akan digerakkan ke Labuan pada Selasa depan dengan lapan doktor termasuk pakar, dan 30 anggota paramedik.

Beberapa bahagian di Labuan dikenakan sekatan pergerakan penuh dari 15 hingga 28 Jun termasuk lapan lokaliti di pusat bandar iaitu Kampung Sungai Keling; Simpang Sahari di Kampung Bukit Kalam; perkampungan air di Kampung Patau-Patau 1 dan 2; Taman Perumahan Mutiara Sg Bedaun; Kampung Layang-Layangan; Kampung Durian Tunjong dan Kampung Tanjung Aru.

— BERNAMA