KOTA KINABALU: Hari Etnik Sabah 6.0 dilihat berpotensi menjadi antara produk pelancongan budaya utama Sabah dalam usaha menarik lebih ramai pelancong serta memperkenalkan kepelbagaian warisan etnik negeri itu ke peringkat global.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program berkenaan bukan sahaja mempamerkan keunikan budaya tempatan, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk mengukuhkan hubungan antara institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah dengan rakyat pelbagai etnik.
Beliau berkata, penganjuran yang menghimpunkan 35 etnik di Sabah membuka ruang kepada badan kebudayaan untuk menonjolkan warisan masing-masing sebagai aset pelancongan yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
“Penyertaan 182 pimpinan persatuan etnik mencerminkan kekuatan kepelbagaian budaya Sabah yang menjadi antara tarikan utama dalam industri pelancongan negeri ini,” katanya dalam sidang media di Dataran Deasoka, pada Sabtu.
Menurutnya, program tersebut juga selari dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh promosi pelancongan negara menerusi Tahun Melawat Malaysia, selain menjadi persediaan awal ke arah Tahun Melawat Sabah 2027.
Selain perarakan budaya, acara itu turut menampilkan persembahan tarian serta pakaian tradisional pelbagai etnik yang berupaya menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.
