18 premis diperiksa, 19 kompaun dikeluarkan di Semporna

SEMPORNA: Seramai lapan anggota penguat kuasa Majlis Daerah Semporna (MDS) menjalankan operasi khas ke atas premis perniagaan pada 25 April lalu bagi membanteras pelanggaran syarat lesen dan kesihatan.

Dalam operasi itu, sebanyak 18 premis diperiksa dengan hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan oleh peniaga termasuk gagal memperbaharui lesen operasi serta tidak memiliki atau memperbaharui kad kesihatan.

Susulan itu, sebanyak 19 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga yang melanggar peraturan ditetapkan.

Selain itu, tindakan sitaan turut diambil terhadap meja yang diletakkan di kawasan kaki lima mengikut Undang-Undang Kecil (Public Streets) By-Laws 1986.

Operasi berkenaan bertujuan memastikan semua premis mematuhi peraturan serta menjaga kebersihan dan keselamatan persekitaran awam.