KOTA KINABALU: Orang ramai mengesa agar Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menyemak semula kadar tambang syarikat penerbangan menjelang perayaan Aidilfitri pada 19 April bagi laluan Kota Kinabalu ke Tawau sehala sehingga mencecah RM3,000.

Tinjauan Sabah News Today melalui semakan dilaman web rasmi syarikat penerbangan tambang murah mendapati harga tiket perayaan Aidilfitri terutama dari ibu negara ke Sabah juga naik mendadak sekali gus disifatkan terlalu mahal dan mengecewakan orang ramai.
Bagi ibubapa Ramli Ag Bujang, 56, berkata hasil semakan tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi untuk penerbangan pada 20 April ini, menjangkau sehingga RM3,138.
“Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ni? Pada masa ini, bukan waktu berlakunya pandemik COVID-19. Sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan (grounded) seperti waktu pandemik.
“Tambang terlalu tinggi membebankan rakyat jelata. Jangan sampai seluruh rakyat membuat andaian bahawa ‘airline’ tertentu dilihat mengeksploitasikan keadaan dengan mengaut keuntungan tinggi untuk memulihkan semua kerugian yang ditanggung semasa COVID19 dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada Sabahnewstoday hari ini.
Ramli berkata, beliau mempunyai dua anak belajar anak belajar di Kuala Lumpur tidak mampu balik ke Tawau berikutan harga tiket terlalu naik mendadak.
“Bagi laluan Kota Kinabalu ke Tawau sehala juga naik mendadak sehingga RM2800 seorang. Ini belum lagi bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
“Kerajaan perlu melihat perkara ini kerana Sabah dan Sarawak bergantung penuh kepada penerbangan udara untuk balik beraya menjelang musim perayaan,” katanya.
Ramli berkata, istilah ‘Keluarga Madani sangat tidak sesuai dengan keadaan harga tambang yang melonjak naik mendadak seperti ini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada penumpang.
Katanya, langkah itu juga dibimbangi akan menyebabkan syarikat penerbangan mengurangkan kapasiti penumpang.