KOTA KINABALU: Dua organisasi menyampaikan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk digunakan petugas barisan hadapan (frontliners), di sini hari ini.
Organisasi tersebut membabitkan Persekutuan Industri Sabah (Federation of Sabah Industries (FSI) serta Dewan Perniagaan Malaysia-China Cawangan Sabah (Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) Sabah Branch).
FSI menyumbang sebanyak 1,000 kotak pelitup muka (KN 95) yang disampaikan oleh Presidennya, Richard Lim bersama Timbalannya Datuk Harun Ismail, Naib Presiden, Natalie Fung dan Dino Ang.
MCCC Sabah diwakili Presidennya, Michael Chin menyumbang pelbagai peralatan perlindungan diri, termasuk pelitup muka, baju PPE dan sarung tangan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada FSI dan MCCC selepaa perihatin menyumbang PPE untuk kegunaan pasukan barisan hadapan.
“Usaha memerangi pandemik COVID-19 memerlukan sokongan, dokongan serta penglibatan daripada semua pihak, termasuk rakyat jelata yang wajib terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya selepas menerima sumbangan tersebut pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.