Hajiji penyebab keadaan menjadi kucar-kacir politik di Sabah –

KOTA KINABALU: Naib Ketua Wira Parti Warisan (Warisan), Mohd Fakhurrazi Aliuddin mempersoalkan kenyataan Ceasar Mandela Malakun mendakwa Datuk Seri Mohd Shafie menjadi penyebab kepada faktor ketidakstabilan politik di negeri ini.

Menurutnya, Ceasar boleh menyemak sejarah serta rekod politik Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada empat tahun yang lalu meninggalkan UMNO Sabah kemudiannya menyertai BERSATU.

“Hari ini sekali lagi Hajiji bersama kalangan mereka yang sama pernah meninggalkan UMNO dulu keluar daripada  BERSATU kemudiannya kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Dua tahun lalu, mereka juga berpakat bersama Tan Sri Musa Aman cuba untuk merampas kuasa Kerajaan Warisan Plus.

“Tahun ini, kumpulan ini sekali lagi meninggalkan BERSATU dan menyertai Pakatan Harapan (PN) selepas PRU15 untuk menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya di sini hari ini.

Mohd Fakhurrazi berkata, inilah perjuangan politik Hajiji Noor yang lebih mengutamakan jawatannya kerana takut menjadi kerajaan pembangkang di negeri Sabah.

“Hajiji sekarang ini kekal sebagai Adun Bebas perlu membuktikan majoritinya di Dewan Undangan Negeri Sabah apabila kedudukannya tidak jelas apabila meninggalkan BERSATU baru-baru ini,” katanya.

Mohd Fakhurrazi berkata, cuba semak dalam perlembagaan penubuhan kerajaan Negeri adakah seorang ADUN Bebas  layak dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Ketika ini sudah terbukti siapa yang sebenarnya, menyebabkan menjadi kucar kacir politik di Sabah,” katanya.