Suspek ragut barangan kemas wanita di Titingan Tawau kini diburu polis

TAWAU: Polis sedang mengesan suspek dipercayai meragut barangan kemas seorang wanita sehingga menyebabkan kematian di Kampung Titingan, di sini malam ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 7.30 malam tadi mendapati mangsa adalah warga asing berumur lingkungan 30-an.

Katanya, mangsa ditemui mati oleh orang awam dipercayai dalam keadaan terbaring berlumuran darah bersama anak perempuannya berusia setahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memakai barangan kemas keluar dari rumahnya menuju ke rumah kakaknya untuk mengambil sayur.

“Mangsa bersama anaknya kemudian dipercayai disamun semasa melalui satu lorong gelap berhampiran sebuah bangunan terbengkalai di kawasan tersebut.

“Mangsa memgalami kecederaan di leher, manakala barang kemas berupa rantai dan subang telinga berjaya dilarikan suspek,” katanya dalam satu media malam ini.

Champin berkata, anak perempuan mangsa terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut.

“Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan pergelutan dipercayai mangsa berusaha untuk mempertahankan diri semasa kejadian samun berlaku,” katanya.

Champin, mayat mangsa kemudian di hantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan.