KOTA KINABALU: Seramai 92 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia diusir keluar dari Sabah.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang PATI warganegara Indonesia ke negara asal adalah menerusi program pemindahan tahanan PATI siri 21 hari ini.
Katanya, penghantaran kesemua mereka itu dilakukan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.
“Kesemua PATI yang dihantar itu berusia antara bawah 11 hingga 57 tahun yang terdiri daripada 91 orang dewasa dan seorang kanak-kanak.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang ini, dihantar bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sitti Saleha berkata, proses pemindahan tahanan dilakukan dengan iring kawal masuk sehingga ke dalam vessel (laut) Mid East Express dari Pelabuhan Tawau sehingga ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
“Kesemua PATI yang diusir keluar itu selesai menjalani hukuman atas pelbagai di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kita mengingatkan kepada semua warga asing untuk masuk ke negara ini dengan menggunakan dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di negeri Sabah,” katanya.