KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri mahu menjadikan Ekonomi Biru sebagai salah satu anjakan utama dalam SMJ 2.0 untuk memacu pertumbuhan ekonomi baharu yang lebih inklusif dan mampan.
Menurutnya, pendekatan itu berteraskan kelebihan maritim Sabah yang boleh diterjemah kepada nilai ekonomi lebih besar menerusi sektor perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik dan pelancongan berasaskan alam.
Beliau berkata, potensi sektor itu diunjurkan mampu menjana sehingga RM3.25 bilion setahun, sekali gus menjadi sumber pertumbuhan baharu kepada negeri.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menegaskan bahawa kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah kini berada pada landasan tepat untuk melaksanakan fasa pembangunan seterusnya sehingga 2030.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di SICC, pada Khamis.
