KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, menegaskan kepentingan pengiktirafan terhadap guru-guru yang terlibat aktif dalam bidang kokurikulum sebagai sebahagian daripada usaha membentuk pembangunan pelajar secara holistik.
Beliau berkata, kokurikulum bukan sekadar aktiviti sokongan di sekolah, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, kepimpinan dan keseimbangan pelajar.
Menurutnya, Majlis Xtra Co-Award 2025 PPD Kota Kinabalu menjadi platform signifikan untuk menghargai komitmen serta dedikasi warga pendidik dalam bidang berkenaan.
Azrul berkata, Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkasa sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif dan sokongan kepada warga pendidik bagi meningkatkan pencapaian serta kemenjadian murid.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama antara guru, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan perlu diperkukuh bagi memastikan sistem pendidikan negeri terus berkembang seiring keperluan semasa.
