PUTRAJAYA: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Brunei Darussalam sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) Ke-26, yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Majlis itu disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.
Pertukaran MoU itu membabitkan bidang kesihatan antara kedua-dua negara.
Hajiji yang diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong turut menghadiri Majlis Makan Tengah Hari yang dihoskan oleh Anwar.
ALC merupakan platform rundingan dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang berperanan menilai kemajuan kerjasama sedia ada, menyelesaikan isu berbangkit, selain membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama termasuk perkembangan serantau dan antarabangsa.
