“Rekod Hitam Warisan Bukti Kegagalan Urus Ekonomi” – Roland Chia

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Datuk Dr. Roland Chia Ming Shen, membidas keras kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong dari Warisan, Justin Wong, yang didakwanya cuba mengelirukan rakyat dengan angka ekonomi yang dipilih secara selektif.

Beliau menegaskan bahawa Warisan telah meninggalkan “rekod hitam” dalam sejarah pentadbiran Sabah apabila gagal mengurus ekonomi negeri dengan baik sepanjang tempoh pemerintahan singkat mereka.

“Justin Wong perlu belajar asas ekonomi. Kenyataannya penuh putar belit dan bersandarkan angka-angka separuh masak.

Fakta sebenar tidak dapat disembunyikan – Warisan telah memusnahkan ekonomi Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Chia, semasa Warisan memerintah, ekonomi Sabah menyusut secara drastik. Pada tahun 2019, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah bernilai RM85.6 bilion, namun merosot kepada RM77.8 bilion pada 2020 – penyusutan hampir RM8 bilion atau -9.1%, yang disifatkan beliau sebagai kejatuhan terburuk dalam sejarah moden Sabah.

“Ini bukan sekadar angka. Ini bukti nyata kegagalan pentadbiran Warisan yang membawa kepada penderitaan rakyat,” katanya lagi.

Sebaliknya, Dr. Chia menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), ekonomi negeri menunjukkan pemulihan ketara meskipun berdepan cabaran global.

“Selepas kejatuhan -9.1% pada 2020, Sabah berjaya bangkit semula dengan pertumbuhan +1.5% pada 2021, +3.9% (2022), +1.3% (2023) dan +1.1% (2024). Hari ini, nilai ekonomi Sabah hampir kembali kepada tahap pra-pandemik iaitu RM84.3 bilion,” katanya.

Dr. Chia turut menyelar dakwaan Justin Wong yang mempersoalkan kedudukan Sabah dalam kalangan enam negeri teratas di Malaysia, sambil menyifatkannya sebagai cubaan memperkecil usaha kerajaan.

“Bezanya dengan negeri seperti Perak hanyalah 0.1–0.2%. Tambahan pula, Sabah sedang melalui reformasi struktur menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Ini bukan kegagalan – ini proses pemulihan jangka panjang,” jelasnya.

Data Buktikan Warisan Lemah Urus Ekonomi Sebelum Pandemik

Dr. Chia juga menegaskan bahawa kemerosotan ekonomi Sabah bukan berpunca semata-mata daripada pandemik Covid-19, tetapi sudah bermula seawal pemerintahan Warisan.

“Pada 2017, Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi 8.1%. Namun selepas Warisan mengambil alih, ia merosot kepada hanya 1.5% pada 2018 dan 0.7% pada 2019 – jauh sebelum Covid-19 melanda,” katanya sambil memetik data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Rekod Cemerlang Hasil & Rizab Di Bawah GRS

Tambah beliau, sepanjang 2021 hingga 2024, Sabah merekodkan pertumbuhan positif setiap tahun, dengan hasil negeri melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah.

“Hasil negeri pada zaman Warisan hanyalah RM4.2 bilion (2019). Di bawah GRS, ia meningkat hampir dua kali ganda kepada RM7 bilion pada 2022 dan 2023,” jelasnya.

Selain itu, rizab kewangan negeri turut melonjak daripada RM3.2 bilion (2019) kepada RM8.6 bilion (2024) – peningkatan lebih dua setengah kali ganda.

“Ini adalah bukti nyata pengurusan kewangan berhemat. Warisan tidak boleh lari daripada rekod hitam mereka. Jika ini bukan kejayaan GRS, apa lagi?”

“Warisan Makin Terdesak, Rakyat Jangan Tertipu”

Akhirnya, Dr. Chia menyifatkan serangan berterusan Warisan terhadap kerajaan negeri sebagai tindakan terdesak oleh parti yang kian hilang arah.

“Mereka gagal semasa memerintah, dan kini cuba menutup kegagalan itu dengan memutar belit angka. Rakyat tidak boleh tertipu lagi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, GRS sedang membina semula asas ekonomi Sabah dan meletakkan negeri ini di landasan kukuh untuk masa depan yang lebih cerah.